Tuesday 28 October 2014

Klon Ustaz



KISAH pemuda yang cuba berubah untuk menjadi lebih baik tetapi penuh dengan maksud tersirat menjadi inti pati kepada jalan cerita Klon Ustaz yang pasti mencuit hati.

Tidak klise seperti drama-drama yang pernah ditayangkan sebelum ini, pastinya kesesuaian watak dan jalan cerita diberi perhatian khusus oleh pengarahnya untuk mencantikkan lagi drama ini.
Drama komedi ini telah menjalani penggambaran di Universiti Malaya dan beberapa lokasi lain di sekitar Lembah Kelang.
Bagi pengarah MP Roslin MD Syarif pastinya cabaran terbesar adalah menghubung jalin elemen lawak memandangkan watak utama bukan dalam kalangan pelakon komedi.

“Memang cabaran utama terletak kepada Syarul Ridzuan memandangkan dia merupakan pelakon baru yang diberi tanggungjawab sebagai teraju utama.
“Saya masih ingat ketika hari pertama di set penggambaran, dia mengadu kurang mahir berkomedi. Tapi nampaknya dia mampu memberikan yang terbaik seperti yang saya inginkan,” ujar pengarah berusia 46 tahun ini.

Jelas MP Roslin pastinya dia perlu berhati-hati dalam aspek lakonan para pelakon memandangkan cerita ini ada kaitan secara tidak langsung dengan sensitiviti agama.
Segala aspek perlu diteliti agar tidak menyinggung mana-mana pihak terutama melibatkan babak di surau dan sebagainya.
Selain itu cabaran paling besar apabila terpaksa menggunakan masa yang singkat ketika melakukan penggambaran di Universiti Malaya memandangkan mereka perlu mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak universiti tersebut.
Selain Syarul Ridzuan, Klon Ustaz turut dibintangi Anzalna Nasir, Man Raja Lawak dan Roy Azman.

Bagi Anzalna, dia tidak menghadapi masalah besar untuk melakonkan watak Mastura memandangkan itu bukan kali pertama untuknya melakonkan watak wanita bertudung yang penuh dengan kelembutan.
Ketika ditanya tentang gandingan bersama Syarul Ridzuan pula, dia tidak menafikan antara mereka sudah dipertemukan dalam drama beberapa kali sebelum itu.
“Memang benar keserasian antara pelakon amat penting untuk menghasilkan karya yang baik. Tak dinafikan semua pelakon memberikan yang terbaik kepada drama Klon Ustaz ini.

“Kalau ikutkan memang watak saya ini sudah biasa dibawa. Yang memberikan kelainan adalah naskhah keseluruhan memandangkan drama ini mendapat sentuhan komedi,” jelasnya lagi yang pertama kali terlibat dengan produksi Enuja Productions Sdn. Bhd.

Memang benar keserasian antara pelakon amat penting untuk menghasilkan karya yang bagus.

Klon Ustaz mengisahkan tentang Amir lakonan Syarul Ridzuan yang juga merupakan seorang pelajar di sebuah universiti tempatan.
Amir mempunyai dua sahabat baik dan mereka merupakan pelajar nakal yang sering menimbulkan masalah kepada semua termasuk ketika berada dalam kelas.
Peribadi Amir tidak sebaik mana tetapi pertemuan dengan Mastura (lakonan Anzalna Nasir) yang kebetulan mahu ke surau telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada dirinya.

Keperibadian Mastura begitu tertib, bertudung labuh dan menjadi contoh muslimah yang baik mencairkan hati Amir yang tidak keruan memandangnya.
Pelbagai helah dan idea muncul untuk mencari jalan bagaimana untuk terus berhubung dan bertentang mata dengan gadis pujaannya sehingga menimbulkan pelbagai idea gila kepadanya.

Untuk terus kekal berhubung, Amir mengambil keputusan untuk menukar penampilan diri agar dilihat lebih alim dan seperti orang agama.
Mengenakan jubah dan kopiah, Amir selalu datang ke surau mengikuti Mastura untuk bertegur sapa. Selepas sahaja dia bertegur Amir akan pulang tanpa menunaikan sembahyang.

Kelibat Amir yang berpura-pura alim itu menarik perhatian Ustaz Hafiz sehinggalah ditegur atas perbuatannya itu. Amir perlahan-lahan berubah ke arah kebaikan selepas itu.

Pelbagai kisah lain terjadi antara mereka digarap secara santai dan cukup menghiburkan. Kemuncak kepada segala-galanya apabila Amir bertekad untuk meminang Mastura sebagai isterinya.

Lakonan hebat oleh Anzalna,Roy Azman dan Syarul Ridzwan

Sumber


Telemovie Klon Ustaz, TV9 - 27/10/2014 by DramaMelayu

No comments:

Post a Comment